Friday, February 10, 2006



Sudah terlalu banyak pengumuman rasmi mengenai unjuran pertumbuhan ekonomi yang dikeluarkan oleh agensi-agensi kerajaan khususnya Bank Negara Malaysia (BNM). Yang terbaru ialah pengumuman BNM mengenai pertumbuhan ekonomi yang dijangka melepasi 5.5 peratus dengan kadar faedah yang masih rendah. Rizab antarabangsa negara pula sudah mencecah RM269.4 bilion berakhir 27 Januari 2006. Dengan rizab antarabangsa yang besar ini ia mampu membiayai dan menampung 7.9 bulan import tertangguh dan enam kali hutang negara jangka pendek.

Bagaimanapun di kalangan rakyat, angka dan unjuran di atas tidak membawa makna kepada mereka. Kadar keresahan di kalangan rakyat khususnya di kalangan komuniti bisnes amat dirasai sekarang.Yang paling perit menanggung derita ialah para kontraktor bumiputera.Ramai yang sudah gulung tikar.Mereka tidak punya jalan keluar selain daripada berhadapan dengan tindakan Undang-undang dari pihak bank atau institusi kewangan yang lain. Keluhan mereka semakin kuat seolah-olah tiada lagi peluang untuk menikmati unjuran-unjuran pembanguan yang disebut pada awal perenggan tadi. Kenapa negara kaya ( kalau dilihat dari nisbah unjuran pembangunan negara ) masih menyaksikan fenomena ini . Apakah jawapan yang dapat kita berikan selain daripada pengendalian ekonomi yang tidak bijak.Pemimpin yang pandai ramai tetapi sukar untuk mencari pemimpin yang bijak. Pandai dan bijak adalah dua perkara yang berbeza.

Apakah sebenarnya falsafah pembangunan negara pada pandangan pemimpin negara kita ?Apakah tercegaknya bangunan PETRONAS Twin Tower, tiang bendera ketiga tertinggi di dunia dan gong paling besar di perkarangan Angkasapuri menjadi simbol kemampuan negara? Apakah pengumuman mendirikan universiti setiap kali pilihanraya kecil menjadi agenda relevan kepada pembangunan negara ?

Di manakah hilangnya rakyat kelas menengah yang dicipta oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB)?Untuk membangunkan negara secara seimbang, tumpuan harus diberikan kepada rakyat kelas menengah.DEB sebenarnya telah melebarkan parameter kelas menengah tetapi dasar ini telah tamat tempohnya pada tahun 1990 dan digantikan dengan Pelan Pembangunan Jangka Panjang yang tidak lagi memberi tumpuan kepada pembahagian kekayaan secara "equitable" di kalangan kaum dan rakyat.

Pegangan ekuiti bumiputera pada tahun 1970 ialah 2.7 peratus yang merangkumi individu dan badan-badan yang mempunyai kepentingan bumiputera. Tetapi dengan pelaksanaan DEB pegangan ekuiti bumiputera melonjak kepada 18.4 peratus pada tahun 1984.Bagaimanapun pada tahun 2003, sehari sebelum Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri beliau telah mengeluarkan angka rasmi pegangan ekuiti sebanyak 18.6 peratus. Tidakkah ini melucukan kerana ianya mempamerkan kepada kita bahawa pengendali ekonomi negara hanya mampu untuk menambah hanya 0.2 peratus pegangan kekayaan bumiputera di negara ini di antara tahun 1984 hingga 2003. Tentu sekali kita dapat memberikan "tabik hormat" kepada pemimpin yang menjadi pentadbir ekonomi negara di antara 1970-1984.

Kenapa semakin diumumkan unjuran pembangunan negara yang tinggi, semakin ramai rakyat yang berhutang.Setiap pelajar yang mula menjejakkan kaki ke universiti secara automatik sudah mula mengira hutang. Kenapa semakin maju negara,semakin hilang kemudahan pelajar untuk mendapatkan biasiswa sedangkan di banyak negara yang tidak semaju kita, biasiswa merupakan "constitutional rights" dari segi moralnya. Contohnya di Jerman,pendidikan di peringkat universiti adalah percuma, termasuk pelajar dari negara asing.

Kalau kita mahu selongkar dan selidik kelemahan yang ternyata ini, maka tentulah ia akan memakan masa .Kita akan cuba kupas satu persatu isu-isu yang telah dipaparkan ini untuk manfaat semua pihak. Tulisan yang akan menyusul nanti akan memperincikan manfaat DEB yang bukan hanya ditujukan kepada orang Melayu sahaja tetapi juga untuk kaum-kaum lain di Malaysia. Jumpa lagi.